Seksaan beli kereta baru

Kereta Baru 2018

Beli kereta baru adalah pengalaman indah yang sangat best tetapi dalam jangkamasa tertentu, ianya akan menjadi pengalaman yanag tidak indah pada poket kebanyakan orang. Saya dan isteri pernah membeli kereta baru dan saya akan ceritakan kenapa ianya satu pengalaman yang tidak selamanya indah pada poket. Saya akan tunjukkan di mana silapnya supaya anda dapat elakkan diri dari kesilapan saya. Selamatkan diri anda dari seksaan membeli kereta baru. 

Gagal mengenal keperluan dan kehendak.

Pada zaman sekarang yang serba canggih ini saya pasti anda tidak bersetuju jika saya katakan kereta bukan keperluan tetapi ialah kehendak. Ya, saya pun setuju, kereta telah menjadi keperluan. Tetapi, jika saya katakan semula “kereta baru adalah kehendak” adakah anda sedang berfikir berulang kali? Ada kemungkinan ianya benar sebenar-benarnya kan?

Kereta baru adalah kehendak kerana sebenarnya anda hanya perlukan sebuah kenderaan yang boleh membawa anda dari Point A ke Point B. Sebelum saya membeli sebuah kereta baru, saya memiliki sebuah kereta Proton Saga lama tahun 1986 yang dihadiahkan oleh ibu bapa saya. Kereta  ini tiada masalah bergerak dari Point A ke Point B sekitar 100km sehala. Kami telah menjadikan jarak Point A ke Point B sekitar 400km sehala sebagai satu kriteria yang membuatkan kemampuan kereta Saga lama ini diragui. Kemudian meletakkan kereta baru sebagai penyelesaian. Fikir saya, jom beli kereta baru. Selepas itu, saya dan isteri terus letakkan ciri-ciri kenderaan yang kami mahukan(kehendak).

Sekejap, anda perasan tak ada satu lagi option yang kami gagal masukkan dalam penilaian? Tadi saya kata kereta baru ialah kehendak, maka perkara yang menjadi keperluan di sini ialah kereta. Di sinilah kereta terpakai sepatutnya menjadi satu pilihan yang patut dipertimbangkan. Saya dan isteri gagal melihat kereta terpakai sebagai satu pilihan dan langsung tidak membuat survey harga pada kereta terpakai yang menepati ciri-ciri sebuah kereta keperluan kami pada masa itu. Kami hanya membuat pilihan pada lebih kurang 8 model kereta baru dalam pasaran sahaja.

Saya nasihatkan supaya anda melihat kereta terpakai sebagai satu pilihan yang baik. Adik saya menggunakan kereta terpakai dan ianya masih berfungsi dengan baik selepas 5 tahun penggunaan. Kereta baru saya yang kini sudah berumur 6 tahun 5 bulan masih ada baki hutang. Ansuran bulanan kereta baru masih membebani cashflow saya dan isteri. Walaupun, kereta baru pilihan kami masih berfungsi dengan baik, sepertimana kenderaan yang jangka penggunaannya melebihi 5 tahun, pasti ada wear and tear yang membuatkannya benar-benar rasa seperti kereta terpakai sedangkan bayaran bulanannya masih rasa seperti ansuran kereta baru. Disinilah baru kita terasa yang kereta baru tidak lagi indah pada poket.

Mengira komitmen ansuran bulanan yang mesra poket.

Jika anda seorang graduan atau lepasan graduan yang baru memulakan alam pekerjaan, ada skim membeli kereta baru yang membolehkan anda membelinya dengan ansuran bulanan yang lebih rendah tetapi tempoh bayaran dipanjangkan kepada 10 tahun tanpa memerlukan 10% deposit. JANGAN AMBIL peluang keemasan ini. Ini ialah EMAS jahat.

Semasa saya dan isteri sedang gopoh membuat pertimbangan untuk membeli sebuah kereta baru, beberapa kriteria kereta tersebut telah kami gariskan yang mana sepatutnya kriteria tersebut boleh juga diguna pakai JIKA kami mencari kereta terpakai. Tolak semua ciri-ciri fizikal sesebuah kereta idaman, yang tinggal perbezaannya ialah harga ansuran bulanan, kos servis kenderaan dan takaful tahunannya.

Bagi menentukan ansuran bulanan yang mesra poket, saya menggunakan formula mudah yang saya baca di internet. Dalam menentukan jumlah RM ansuran bulanan untuk kereta baru, pastikan harga maksimum ansuran bulanan hanyalah sekitar 20% ke 30% jumlah gaji sahaja. Hal ini sebenarnya ialah amalan kebanyakan penjawat awam yang hanya ada 2 benda sahaja nak dijadikan ansuran bulanan, kereta dan rumah. Selepas tu mereka akan terseksa jiwa dan raga tidak mampu berhutang benda lain lagi sebab dah maksimakan kuota hutang 60% gaji seperti yang disyaratkan bank dan juga kerajaan ke atas penjawat awam.

Saya dan isteri telah ikuti jejak kebanyakan penjawat awam yang lain dengan sedikit penambahbaikan sahaja. Kereta baru yang kami beli itu hanyalah 20% daripada gaji, sekitar RM600 sebulan sahaja. Ngam ngam 20% yang menjadikan kami agak terselamat daripada mereka yang memilih 30% sebagai nilai maksima ansuran bulanan kereta. Walaubagaimanapun, pada realitinya saya boleh memilih jumlah ansuran sekitar 15% sahaja, tetapi tidak berbuat demikian. Alangkah baiknya jika saya downgrade sedikit ciri-ciri kereta idaman dan jimat beberapa ratus RM lagi. Adalah lebih baik jika saya memilih kereta terpakai, dengan nilai yang sama pasti saya dapat kereta yg lebih besar dan selesa. Apapun, 6 tahun telah berlalu dan kami hadapi pilihan kami dengan tekun dan sabar.

Kepada anda yang sedang memilih kereta, fikirkan angka RM yang lebih munasabah. Ansuran kereta baru sepatutnya hanya 10%-15% daripada gaji sahaja. Seterusnya letakkan 5%-10% sebulan sebagai kos yang anda perlu untuk menanggung atau membela kereta baru anda. Tahukah anda sebuah kereta baru perlu diservis seawal 1000km pertama selepas dibeli? Anda perlu hantar kereta ke pusat servis jenama kereta tersebut dan kosnya sangat TIDAK MESRA POKET. Kereta baru saya mencapai 1000km pertama dalam bulan pertama selepas beli. Hujung bulan tu kena bayar RM600 + RM122 kos servis tukar minyak enjin sahaja. Ada FREE LABOUR untuk 3 kali servis. Tapi lepas tu kos upah kerja dia boleh tahan cekik darah.

Jika saya memilih kereta terpakai, saya boleh minta jurujual tersebut menukar minyak enjin baru sebelum saya mengambil kereta tersebut dan tukar semula selepas 5000km. Kos belanja yang hampir sama tetapi hanya perlu selepas 5000km. Kelebihan pada kereta terpakai kerana anda tidak terikat untuk hantar ke pusat servis jenama kereta anda. Anda boleh ke mana-mana bengkel yang mengenakan kos yang lebih murah, atau lebih baik jika anda boleh DIY sahaja tukar minyak enjin. Kalau beli kereta baru, sudah pasti isu void warranty akan membelenggu kita.

Bagaimana saya merawat seksaan membeli kereta baru?

Walaubagaimanapun serius isu ini, saya telah merawat diri dengan beberapa cara untuk berjimat. Harus diingat, kesilapan berlaku kerana saya gopoh dan tidak berhati-hati dalam membuat pilihan. Anda mempunyai pilihan, belajarlah dari kesilapan orang lain. Ianya lebih jimat daripada belajar dari kesilapan sendiri. Dua kesilapan utama saya;

  1. Gagal membezakan keperluan dan kehendak. Memilih kereta baru selain kereta terpakai. Kereta ialah sejenis liabiliti. Liabiliti yang kurang kosnya adalah pilihan yang baik.
  2. Gagal meletakkan peratusan 5%-10% daripada gaji untuk kos servis kenderaan dan takaful(wajib/setahun) di dalam penilaian ansuran bulanan kereta baru.

Cara saya atasi masalah terbeli kereta baru ialah dengan menilai setiap satu masalah yang ada.

Pertama, kereta baru saya memerlukan minyak enjin setiap 5000km dan ini menelan belanja setiap 2 bulan kerana penggunaan saya sekitar 2000-2500 km sebulan. Saya telah memulakan perniagaan menjual minyak enjin online secara sambilan. Produk pertama pilihan saya ialah minyak enjin Petronas Syntium 3000 Fully Synthetic yang boleh digunakan sejauh 10,000km. Harga modal sebotol bersamaan dengan kos minyak enjin standard sama jenama yang digunakan di pusat servis. Kelebihannya saya boleh bawa sendiri minyak enjin full synthetic ini ke pusat servis dan perkara ini menyelesaikan isu void warranty. Tambahan lagi, kos servis berjaya dikurangkan separuh kerana saya hanya perlu servis 1 kali sahaja untuk penggunaan 10,000km berbanding 5000km x 2 sebelumnya. Disamping itu juga, keuntungan jualan minyak enjin tersebut seolah-olah saya mendapat FREE SERVIS setiap kali menghantar kereta saya untuk menukar minyak enjin. Anda boleh layari Page Facebook Minyak Enjin Berkualiti yang saya usahakan.

Keduanya, mulakan simpanan setiap bulan untuk membayar takaful tahunan kenderaan. Untuk masalah ini, tiada kaedah yang lebih baik selain menyimpan. Anda boleh gunakan pelbagai kaedah menyimpan wang. Jika takaful kenderaan anda sekitar RM1200/tahun maka simpanlah RM100 sebulan. Apa yang telah saya buat ialah, dapatkan geran asal kenderaan daripada bank. Walaupun pihak bank banyak berdalih untuk memegang geran asal kenderaan saya tetap berkeras untuk menyimpan sendiri geran tersebut. Selepas dah dapat geran tu boleh renew sendiri secara online. Saya renew sendiri takaful kereta saya di etiqa takaful secara online dan dapat diskaun 10%.

Begitulah cara saya berjimat setelah melakukan kesilapan membeli kereta baru. Saya yakin jika saya memilih untuk membeli kereta terpakai. Perbelanjaan bulanan saya akan lebih fleksibel. Akhir kata, sayangi diri anda. Elakkan membeli kereta baru yang susut nilainya tinggi. Elakkan membeli liabiliti yang memerlukan tambahan ansuran bulanan untuk kekal berfungsi.


Fakhrul Anwar Osman
Sesal dulu pendapatan, Sesal kemudian tiada gunanya.
5 Ogos 2018
23 Zulkaedah 1439H

Kongsikan dengan rakan anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *